HIMPUNAN HADIS-HADIS DHAIF DAN PALSU
Hadis-hadis yang wajib diterima dan diamalkan hanyalah hadis-hadis Mutawattir, Soheh dan Hasan. Dan hadis-hadis yang wajib ditolak pula ialah Hadis-hadis Maudhu’, Matruk Dan Mungkar.
Jumhur ulama hadis menolak semua hadis dha’if walaupun tidak seberapa dha’ifnya kerana hadis-hadis sahih dan hasan lebih daripada mencukupi dan dikhuatirkan akan terjerumus ke dalam jurang berbohong kepada Nabi s.a.w .
Menurut pendapat Imam Yahya bin Ma'in (wafat 233H), Imam AI-Bukhari (wafat 256H), Imam Muslim (wafat 261H), dan Imam Ibnu Hazm (wafat 456H), tidak boleh beramal sama sekali dengan hadith dhaif (apa lagi palsu) dalam hukum hakam dan fadhail a'mal (keutamaan-keutamaan amalan).
Akan tetapi sebahagian kecil para ulama membolehkan penggunaan hadis-hadis yang tidak seberapa dhaifnya untuk menyatakan Targhib dan Tarhib dan menyatakan fadhilat-fadhilat amal (bukan menyunatkan amal) dengan syarat antara lain jangan diyakini bahawa dia adalah sabda Rasulullah s.a.w dan dinyatakan kedhaifannya.
Walaubagaimanapun Imam An-Nawawi didalam Muqaddimah Syarah Sahib Muslim menyifatkan pendapat membolehkan beramal dengan hadith lemah dalam hukum-hakam adalah tidak benar bahkan sangat keji.
berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang sangat berat di dalam Islam. Berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang mana baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang mana baginda tidak pernah melakukannya. Perbuatan ini adalah jenayah mengujudkan agama secara palsu, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama.
Sebab itulah Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Hadith ini adalah mutawatir (lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)
Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith,m.s 98)
Di sini disenaraikan sebahagian kecil hadis-hadis palsu dari beribu-ribu hadis palsu yang tersebar dengan meluas ke dalam masyarakat kita.
Mudah-mudahan ini dapat membantu kita dalam usaha mengelakkan diri dari terjatuh ke dalam kesesatan yang tidak bertepi dan semoga ia dapat dijadikan sebagai pembantu untuk membasmi penggunaan dan penyebaran hadis-hadis yang tidak halal ini ke dalam masyarakat kita.
No comments:
Post a Comment